Site Loader

Melalui
kajian ini, tidak dinafikan bahawa kekeliruan iklan adalah peranan penting
untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli barangan mereka. Hal ini
bermakna, iklan yang mengandungi unsur kekeliruan atau unsur penipuan
mempengaruhi seseorang dalam urusan pembelian. Ianya mempengaruhi dari segi
tingkah laku pembeli serta keputusan yang dibuat oleh pembeli tersebut. Sebagai
contoh, iklan menjanjikan kulit wajah yang bersih dan cerah di mana ianya
merupakan idaman serta lumrah wanita untuk mendapatkan wajah yang cantik. Oleh
demikian, wanita akan membelinya tanpa memikirkan iklan tersebut mengandungi
unsur-unsur yang tidak benar akibat terlalu teruja dengan tawaran yang
dipaparkan.

Selain
itu, sudah menjadi kebiasaan pelanggan akan menerima maklumat dalam iklan itu
sebagai perkara yang benar. Namun demikian, hasil yang diterima oleh pelanggan
adalah kerugian atau penyesalan kerana produk yang dibeli tidak berfungsi
seperti yang dijanjikan. Melalui kajian ini juga, kekeliruan iklan sebenarnya
mempengaruhi jantina dan peringkat umur. Sebagai contoh, produk kecantikan akan
mempengaruhi kaum wanita untuk membeli sekiranya produk tersebut memenuhi
ciri-ciri kehendak mereka. Begitu juga dengan pengiklanan ubat kuat lelaki
dimana kaum lelaki akan terpengaruh dengan iklan ini untuk mempunyai hubungan
intim dengan pasangan. Selain itu, produk yang mempunyai unsur penjagaan kesihatan
pula akan mempengaruhi warga tua yang menginginkan kekuatan fizikal badan
memandangkan usia mereka yang semakin meningkat dan mudah menerima penyakit.

Sehubungan
dengan itu, iklan yang berunsurkan seksual juga menarik perhatian pengguna
untuk melihat iklan tersebut. Apabila sesebuah iklan itu berjaya menarik
perhatian pengguna, informasi yang terpapar dalam iklan juga akan mudah
diingati. Walau bagaimanapun, dalam pengenalan daya tarikan dan seksualiti
khusus ke dalam iklan sering mengganggu mesej asal dan boleh menyebabkan kesan
buruk dari pengguna yang ingin mengambil tindakan (Belch Et Al, 1981).

Adalah
tidak salah untuk pihak syarikat atau penjual menarik perhatian pengguna untuk
membeli produk. Namun, sudah termaktub bahawa kekeliruan iklan atau pengiklanan
palsu adalah salah dari segi undang-undang bukan sahaja di negara Malaysia
malah kebanyakan negara. Oleh demikian, penjual masa kini masih meneruskan
pengiklanan palsu walaupun mengetahui konsep itu adalah salah.

Kebaikan
yang boleh diperoleh melalui kekeliruan iklan atau pengiklanan palsu adalah
penjual mampu memujuk pembeli untuk membeli produk mereka. Mereka mendapat keuntungan
yang berganda apabila mendapat kepercayaan pembeli melalui iklan. Namun
keburukan iklan seperti ini adalah kepada pengguna kerana mengetahui produk
yang dibeli tidak bermanfaat seperti yang dinyatakan. Hal demikian mewujudkan
rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli. Secara tidak langsung pembeli mulai
hilang kepercayaan lantas merugikan pihak syarikat dan penjual. Pihak pengiklan
yang bersalah pula akan diambil tindakan undang-undang berikutan dengan aduan
pembeli mengenai produk yang dijual tidak berfungsi seperti dijanjikan.

Cadangan
yang dapat dikemukakan adalah pihak berkuasa perlu menekankan tentang
kekeliruan iklan yang semakin berleluasa. Pengiklan yang mengamalkan iklan
berunsurkan kekeliruan dan kepalsuan perlu ditegur jika terbukti mereka
terlibat. Pihak berkuasa pula perlu menguatkuasakan lagi undang-undang
periklanan untuk kebaikan semua pengguna. Sebelum sesebuah iklan dikeluarkan,
hendaklah memastikan iklan itu adalah benar dan sahih. Hal ini kerana pelanggan
mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran sesuatu produk sebelum membeli.  Jika barangan yang dibeli tidak berfungsi
seperti dinyatakan dalam iklan, pembeli perlu membuat aduan mengenai produk
tersebut agar ianya tidak terkesan kepada pengguna yang lain. Pengiklan perlu
menitikberatkan ciri-ciri iklan yang baik bukan sahaja untuk mendapat
keuntungan tetapi memberi kebaikan kepada pengguna.

Penggunaan
manipulasi gambar di dalam iklan memang tidak dapat dielakkan. Namun manipulasi
gambar tersebut perlulah bersesuaian, menyampaikan maklumat yang betul dan
tidak mengelirukan. Sememangnya manipulasi gambar bertujuan untuk menarik
perhatian pengguna, akan tetapi pihak pengiklan perlu diingatkan adalah lebih
baik untuk mematuhi ciri-ciri dan etika pengiklanan yang telah ditetapkan.Selain
itu, menyatakan maklumat yang betul dan tidak mempunyai unsur menokok tambah.

Pihak
pengiklan hendaklah menitikberatkan perasaan tidak puas hati pelanggan. Iklan
tidak seharusnya mempunyai perkataan perjanjian yang melebihi daripada
kemampuan produk. Hasilnya akan membuatkan pelanggan berasa tidak puas hati dan
menghadapi kerugian.

Post Author: admin